Pengenalan
Pada
hari ini, 10 Mac 1909 genaplah 100 tahun PerjanjianBangkok dimeteraikan
antara Siam dan Britain yang membahagikan Negeri-negeri Melayu Utara
(Kelantan,Terengganu, Kedah, Perlis, Patani, Yala, Narathiwat dan Setul)
antara dua kuasa tersebut. Kelantan, Terengganu,Kedah dan Perlis
menjadi naungan British manakala Patani,Narathiwat, Yala dan Setul
(ringkasnya Patani) kekal menjadi sebahagian daripada wilayah Siam
walaupun majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu dan
beragama Islam. Dalam membicara tentang Perjanjian 1909 tidak ramai yang
membahas tentang ‘ketinggalan’ Patani,Narathiwat, Yala dan Setul di
dalam Perjanjian itu. Kegagalan Perjanjian 1909 untuk memisahkan Patani
daripada jajahan Siam telah memberi kesan buruk kepada kestabilan
serantau. Justeru kegagalan itu, Patani kini sedang bergolak dengan
keganasan.. Sempena ulangtahun ke-100 tahun perjanjian Bangkok (1909),
elok kiranya peristiwa ini diulangkaji demi mencari perdamaian di
wilayah yang sedang bergolak itu.
Patani Dan Negeri-Negeri Melayu Utara
Patani,
asalnya, adalah sebuah kerajaan Melayu yang merdeka dan berdaulat.
Majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam
(Ibrahim Syukri1958). Ia telah mencapai kemuncak keagungannya pada abad
ke-16 pada masa pemerintahan Raja-Raja Perempuan. Pada akhir abad ke-18
Patani mengalami zaman kemerosotannya. Perang saudara telah melemahkan
kekuatan Patani. Kesempatan itu telah diambil oleh Siam untuk menakluk
Patani pada 1785. Setelah Patani tewas, Kedah pula menjadi mangsa dasar
agresif Siam Pada 1821, Kedah diceroboh dan ditakluk. Britain, yang
sepatutnya melindungi Kedah daripada pencerobohan Siam berasaskan
Perjanjian 1786 dan 1800, telah mengkhianati Kedah. Britain telah
membiarkan tentera Siam menakluk dan menganas di Siam. Sungguhpun Raja
dan orang-orang Melayu di Kedah berusaha mempertahankan tanah airnya,
tetapi tanpa bantuan luar, Kedah tewas. Sultan dan rakyatnya terpaksa
berundur ke Pulau Pinang, bekas jajahannya, sebagai pelarian. Atas
pertimbangan politik dan komersial, Britain mengiktiraf penaklukan Siam
ke atas Kedah. Sebagai balasannya, kerajaan Siam bersetuju untuk
memperakui Pulau Pinang dan Seberang Perai sebagai milik British.
Kerajaan British pula berjanji akan membantu Siam dalam menghadapi
tentangan orang Melayu.
Orang
Melayu Patani dan Kedah menolak Perjanjian 1826 dan mengangkat senjata
untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tidak tahan
dengan kebangkitan orang Melayu Patani, pada awal 1840an, atas desakan
British, Siam bersetuju untuk berdamai dengan orang Melayu Patani dan
Kedah. Pemerintahan Raja Melayu telah dipulihkan di Patani dan Kedah
tetapi menjadi negeri naungan Siam. Raja-Raja Melayu Patani dikhendaki
mengirim Bunga Mas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok sebagai
tanda taat setia dan persahabatan. Sejak itu hingga akhir abad ke 19,
Negeri-Negeri Melayu kembali stabil.
Zaman Imperialisme Baru
Akhir
abad ke-19 merupakan zaman imperialisme baru. Kuasa-kuasa Eropah
berlumba dan bersaingan untuk menguasai sebanyak mungkin tanah jajahan
di benua Afrika dan Asia. Di Tanah besar Asia Tenggara, satu persaingan
yang hebat antara British dengan Perancis telah berlaku. British
menakluk Hulu Burma pada 1886 manakala Perancis meluaskan penjajahannya
di Annan dan Tongking. Persaingan ini mencapai kemuncaknya pada 1893.
Pada masa itu kepentingan British tertumpu di dua kawasan, iaitu,
pertama di timur laut Burma dan Selatan China, dan kedua di
Negeri-Negeri Melayu Utara sehingga Genting Kra. Dikedua-dua kawasan
itu, British mempunyai kepentingan perdagangan dan strategik.
Bagaimanapun akibat perluasan Empayarnya yang luas dan berselerak,
British enggan memperluaskan empayarnya kerana ada banyak masalah
berkaitan dengan peluasan itu. Manakala Perancis masih lagi terlibat
dalam peluasan tanah jajahan dan hanya menunggu kesempatan untuk
menakluknya, terutamanya sekali di Tanah Besar Asia Tenggara,
terutamanya jajahan Siam. Sekiranya Siam dijajah oleh Perancis,
kepentingan British di Burma dan Negeri-Negeri Melayu Utara akan
terjejas. Untuk mengelak British dan Perancis mempunyai sempadan yang
sama, Kerajaan British telah mengadakan rundingan dengan Perancis pada
1895 bagi memelihara kemerdekaan Kerajaan Siam. Dalam pengisytiharan
pada 15 Januari 1896 mereka bersetuju untuk memelihara kemerdekaan
kerajaan Siam di Lembah Sungai Chao Phya. Berhubungan dengan
wilayah-wilayah di luar Lembah Menam, mereka bersetuju membahagi antara
mereka. Kawasan Timur Laut Siam,menjadi kawasan pengaruh Perancis
manakala kawasan Negeri-Negeri Melayu Utara menjadi kawasan pengaruh
British. Setelah pengumuman pengisytiharan itu, Kerajaan British telah
mengadakan rundingan sulit dengan Siam bagi mengelak kuasa-kuasa Eropah
lain, khususnya Jerman dan Russia, daripada bertapak di Negeri-Negeri
Melyu Utara. Kerajaan Siam memberi jaminan bahawa ia tidak akan
membenarkan mana-mana kuasa Eropah bertapak di situ tanpa persetujuan
British. Kerajaan British pula berjanji akan menolong Siam menentang
sebarang cubaan asing untuk bertapak di Negeri-Negeri Melayu Utara.
Jaminan itu terkandung dalam Perjanjian Rahsia pada April 1897. Dengan
jaminan itu, Siam mula mengukuh cengkamannya ke atas Negeri-Negeri
Melayu Utara. Melalui dasar Thesaphiban, Siam memulakan reformasi
pentadbiran di Negeri-Negeri Melayu Utara. Di bawah dasar ini, sistem
pemerintahan beraja Melayu akan diganti dengan sistem
Gabenur. Negeri-Negeri Melayu Patani, seperti Patani, Saiburi dan Jalor,
menjadi sasaran utama sistem Thesaphiban. Raja-Raja Melayu Patani
berusaha untuk mempertahan pemerintahan beraja Melayu. Mereka telah
merayu kepada pihak berkuasa British di Singapura supaya menghalang
kerajaan Siam daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri
mereka. Mereka juga bersedia untuk mengangkat senjata menentang Siam
dengan sokongan kuasa-kuasa Eropah lain. Keadaan ini membimbangkan Frank
Swettenham, Gabenur Negeri-Negeri Selat. Sekiranya kekacauan berlaku di
Patani,sudah pasti ia akan memberi peluang kepada kuasa-kuasa Eropah
lain, khususnya Jerman, untuk campurtangan di Negeri-Negeri Melayu
Utara. Bagi Frank Swettenham,Negeri-Negeri Melayu Utara bukan tanah
jajahan Siam tetapi hanya negeri naungan Siam. Beliau mendesak Kerajaan
British mengambil alih Negeri-Negeri Melayu Utara. Selain untuk mengelak
kuasa-kuasa Eropah lain bertapak di situ, iajuga bertujuan untuk
menyelamat orang-orang Melayu daripada keganasan Siam. Kerajaan British
menolak desakan itu kerana terikat dengan Perjanjian Rahsia 1897.
Sekiranya British berbuat demikian sudah tentu Perancis pula akan
membalas dengan merebut kawasan Timur Siam. Sementara itu, British
mengalakkan kerajaan Siam melantik Penasihat-Penasihat Am di Negeri
Melayu Utara untuk memantapkan pentadbiran. Penasihat-penasihat itu
mestilah warganegara British. Belum pun Penasihat-Penasihat Am dilantik,
Kerajaan Siam telah menahan Tengku Abdul Kadir, Raja Patani dan Tengku
Mutalib, Raja Saiburi, pada 1902 yang dianggap oleh Siam sebagai
pengerak gerakan menentang Siam. Pada 5 Oktober 1902, Kerajaan British,
tanpa memperduli rayuan dan rintihan Raja-Raja Melayu, mengiktiraf
Negeri-Negeri Melayu Utara sebagai jajahan Siam yang sah. Kerajaan Siam
bersetuju untuk melantik Penasihat-Penasihat Am di Negeri Melayu Utara
kecuali di Patani yang telah dihapus pemerintahan Melayu.
Berbanding
dengan Negeri-Negeri Melayu utara lain, seperti Kelantan, Terengganu,
Kedah dan Perlis, Patani kurang bernasib baik. Patani diperintah secara
langsung oleh Siam melalui seorang Gabenur. Gabenur dan kakitangannya adalah beragama Buddhis
dan berbangsa Siam. Mereka bukan sahaja tidak dapat bertutur dalam
bahasa Melayu tetapi jahil tentang kebudayaan, agama dan adapt
resamorang Melayu. Keadaan ini telah menimbulkan salah faham dan
kekeliruan. Keadaan bertambah buruk apabial pegawai-pegawai Siam ini
mentadbir Patani sebagai seorang penjajah, rasuah dan salah guna kuasa.
Keadaan ini berbeza sekali dengan Negeri-Negeri Melayu yang beraja danmempunyai Penasihat-Penasihat
Am Warga British. Kebajikan dan kepentingan orang Melayu dijaga.
Seorang Konsul British di Songkhla menganggap orang Melayu Patani telah
diperintah oleh sebuah rejim yang zalim. Beliau memberi ingatan kepada
Kerajaan British sekiranya kekejaman itu berlarutan kemungkinan orang
Melayu Patani akan memberontak dan meletakkan wilayah tersebut dalam
keadaan yang tidak stabil. Beliau menasihat Kerajaan
British campurtangan dan menyelamatkan orang Melayu Patani. Beliau
ingatkan bahawa orang Melayu Patani telah merayu kepada Kerajaan Turki
Uthmaniah supaya membantu mereka melepaskan diri daripada cengkaman
Siam. Kerajaan Turki Uthmaniah dilaporkan telah memohon sekutunya Jerman
supaya menyiasat rayuan orang Melayu Patani.
Keadaan
ini membimbangkan Kerajaan British. Ini kerana Jerman adalah musuh
ketatnya. Sekiranya Jerman campurtangan dan bertapak di Patani
kepentingan British pasti akan terjejas. Wakil British di Bangkok,
Paget, telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Hal Ehwal Luar
Siam, Edward H. Strobel, tentang hal tersebut. Strobel sedar bahawa
Kerajaan Siam tidak mampu untuk menghadapi ancaman Jerman kecuali
mendapat sokongandaripada Britain dan Perancis. Bagi menangani masalah
itu,Strobel Mencadangkan supaya kerajaan British mengambil
alih negeri-negeri Melayu yang Kerajaan Siam tidak dapat mengawalnya.
Sebagai balasannya beliau berharap Kerajaan British bersetuju untuk
memansukhkan hak keistimewaannya di Siam di bawah Perjanjian
Bowring(1855) dan Perjanjian Rahsia (1897). Setiausaha
Luar British Sir Edward Grey bersetuju dengan cadangan Strobel kerana
ia bersesuaian dengan hasrat British untuk memperluaskan pengaruh
British hingga ke Segenting Kra. Wakil British di Bangkok telah diarah
berbincang dengan Strobel tentang hal itu. Dalam perbincangan itu, W.D.
Beckett mencadangkan Kerajaan Siam menyerah kesemua negeri-negeri
Melayu, termasuk Patani kepada British. Strobel menegaskan bahawa Siam
hanya bersedia untuk menyerah negeri yang ia tidak mempunyai kuasa
kawalan. Kerajaan Siam tidak mungkin akan menyerahkan Patani kerana ia
adalah ‘Permata’ yang paling berharga. Hasil perbincangan itu telah
disampai kepada Raja Chulalornkorn. Baginda bersetuju untuk melepaskan
semua negeri-negeri Melayu kecuali Patani dengan syarat Kerajaan British
bersetuju untuk membatalkan Perjanjian Bowring dan Perjanjian Rahsia
serta memberi pinjaman kewangan dengan bunga yang rendah.
Keengganan
Chulalongkorn untuk melepaskan Patani mengecewakan Paget. Ini kerana
Patani merupakan wilayah bermasalah bagi Siam. Beliau tidak yakin bahawa
Kerajaan Siam Mempunyai kemampuan untuk
menangani kebangkitan orang Melayu Patani. Bagaimanapun Paget menyedari
bahawa sekiranya Kerajaan British menekan kerajaan Siam supaya
melepaskan Patani kemungkinan Kerajaan Siam akan membatalkan rundingan
penyerahan Negeri-negeri Melayu. Demi untuk menyelamatkan Kelantan,
Kedah, Terengganu dan Perlis, Patani terpaksa dikorbankan. Paget
berharap Kerajaan British dapat mempengaruhi Siam supaya berlaku adil
terhadap orang Melayu Patani bagi memastikan kekacauan tidak akan
berlaku yang boleh menjejaskan kestabilan di kawasan itu.
Pada
10 Mac 1909, Kerajaan British dan Siam telah memeterai sebuah
perjanjian di Bangkok. Di bawah artikel 1 perjanjian itu, Siam bersetuju
untuk menyerahkan hak kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala
hak miliknya ke atas negeri-negeri Melayu, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, termasuk pulau-pulau berdekatan, kepada British. Menyedari
bahawa Patani akan menjadi ‘duri dalam daging’ bagi Siam, Kerajaan
British meminta jaminan daripada Kerajaan Siam bahawa Patani tidak akan
diserah atau dipajak kepada kuasa-kuasa asing ataupun membenar mana-mana
kuasa asing membuka pengkalan di sekitarnya yang boleh menjelaskan
kepentingan British.
Reaksi
Dengan
termeterainya perjanjian ini, Patani secara rasmi telah dipisahkan
daripada negeri-negeri Melayu Semenanjung dan diserap secara paksaan
menjadi wilayah Siam. Orang Melayu Patani ternyata kecewa dengan
Perjanjian Bangkok yang memisahkan Patani daripada Negeri-Negeri Melayu
lain. Mereka menolak percantuman paksaan Patani dengan Siam atas dasar
bahawa Patani adalah negeri Melayu, beragama Islam dan kebudayaan Melayu
yang amat berbeza sama sekali dengan Siam yang berketurunan Siam,
beragama Buddha dan berkebudyaan Siam. Dengan itu tidak hairanlah,
kekacauan dan pemberontakan terhadap penggabungan Patani dengan Siam
berlaku pada awal 1910 hingga 1923. Apabila Perang Dunia I berlaku pada
tahun 1914, orang Melayu Patani menaruh harapan bahawa Jerman, dan
sekutunya Turki Uthmaniah, akan menyerang Siam kerana ia memihak kepada
Britain dalam peperangan itu. Kiranya keadaan itu berlaku, orang Melayu
Patani akan bangkit memberontak. Namun selepas 1918 perang tamat, hal
yang sebaliknya pula berlaku iaitu Jerman dan Turki Uthmaniah tewas di
tangan Pakatan Bersekutu yang diketuai oleh Britain. Sungguhpun begitu,
sukarelawan Turki menyeludup masuk ke Patani bagi
membantu orang Melayu Patani memberontak. Kemasukan sukarelawan itu
telah dapat dikesan oleh pihak British dan Siam. Oleh kerana itu apabila
orang Melayu Patani memberontak pada 1923 dengan mudah sahaja
pemberontakan itu dapat dipatahkan oleh Siam. Nasib orang Melayu Patani
telah mendapat simpati akhbar Penang Gazette. Dalam lidah pengarangnya,
akhbar itu mendesak supaya Liga Bangsa-Bangsa campurtangan dan orang
Melayu Patani diberi peluang untuk menentukan masa depan mereka
berasaskan prinsip hak menentu nasib. Desakan Akhbar Penang
Gazette tidak ditimbang oleh Liga Bangsa-Bangsa yang turut dianggotai
oleh Britain. Lagi pun Siam adalah sekutu rapat Britain. Nasib orang
Melayu Patani semakin tertekan. Pada masa pemerintahan kuku besi Field
Marshal Pibul Songgram,seorang nasionalis kiri, orang Melayu Patani
menjadi mangsa dasar Rathaniyom. Di bawah dasar itu, orang Melayu, telah
dipaksa menukar nama Melayunya kepada nama Siam,menghapuskan bahasa
Melayu dan kebudayaan Melayu daripada mata pelajaran di Sekolah. Keadaan
menjadi bertambah buruk lagi apabila Perang Dunia Kedua berlaku. Dalam
peperangan itu Siam memihak kepada Jepun. Pibul Songgram memusuhi orang
Melayu Patani kerana memihak kepada Britain. Ramai pemuda Melayu Patani
yang menyertai Pasukan Force 136 (Melayu) yang dipimpim oleh Tengku
Mahmud Mahyideen bin Tengku Abdul Kadir untuk menentang Jepun dan
sekutunya Siam. Mana-mana pemuda Melayu yang disyaki memihak kepada
British telah ditangkap dan dihukum. Ada juga yang dicolek dan dibunuh
tanpa perikemanusiaan.
Pada
1943 Patani kembali bercantum dengan dengan negeri-negeri Melayu Utara
apabila Negeri-negeri itu telah dipulangkan kembali oleh Jepun kepada
Siam sebagai membalas jasa Siam kerana bekerjasama dengan Jepun.
Harapan
Semasa perang sedang memuncak beberapa cadangan telah dikemukakan
tentang masa depan Patani dan negeri-negeri Melayu Semenanjung. Tengku
Mahmud Mahyidin mencadangkan supaya Perjanjian Bangkok 1909 dikaji
semula dan Patani dicantum dengan negeri-negeri Melayu lain. Pada
pandangannya masa depan keselamatan Melayu Patani adalah dengan Tanah
Melayu.
Cadangan
itu dikemukakan kerana pada masa itu British sedang menggubal dasar
baru untuk Tanah Melayu. Berita tersebar bahawa negeri-negeri Melayu
akan disatukan. Dengan itu harapan Patani untuk dikeluar daripada Siam
dan diserap dalam gagasan baru itu amat mengalakkan. Apabila perang
tamat pada Ogos 1945 dan tentera British Menguasai Siam, pemimpin Melayu
Patani telah mengemukakan rayuan
kepada kerajaan British melalui Lord Mountbatten supaya menimbangkan
agar Patani dicantumkan dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung di atas
perisytiharan San Francisco. Antara lain mereka merayu, Kerajaan
Pihak Berikat yang maha adil ini boleh menolongkan bagaimana cita-cita
dan hajat kami supaya boleh melepaskan kami daripada tangan Siam. Dan
jikalau sekiranya Kerajaan pihak Berika terlambat memberi keamanan
kepada Negeri Patani dan jajahannya nescaya akan mendapat kepanasan atau
mudarat kepada sekalian rakyat-rakyat melayu
sekalian kelak. Harapan mereka berkecai. Apabila Perjanjian Damai
ditandatangan antara Britain dengan Siam pada 1 Januari 1946, tuntutan
orang Melayu Patani telah digugurkan. Ekoran itu, sekali lagi pada 15
Januari 1946 pemimpin Melayu Patani mengemukakan rayuan kepada kerajaan
British agar dibebaskan Patani daripada belenggu penjajahan Siam.
…kami
harapkan manakala telah selesai peperangan dunia tentulah Kerajaan
Berikat terutama Kerajaan British yang maha adil supaya mengambil
suatulangkah yang amat berat pada menghuraikanmasalah-masalah tunttan
kami yang suci itu supaya terlepaskan daripada genggaman Kerajaan Siam
yang amat zalim itu dengan seberapa segeranya.
Akan
tetapi dukacitanya kami semua ternanti-nanti didalam masa dua tiga
bulan hendak mendengar apa-apa natijahnya yang di bawa ke dalam
perundingan di antara Kerajaan Siam dengan Kerajaan British yang telah
ditandatangani perselesaian peperangan di antara Kerajaan Siam dengan
Kerajaan Britishpada I Januari 1946 itu didapati tiada apa-apa pun yang
bersangkut paut atau riaknya daripada Kerajaan
Berikat
Mengambil berat di atas kemerdekaan kami dan negeri kami iaitu
‘Negeri-Negeri Melayu di dalam jajahan Siam’ dari itu kami sangat
menaruh bimbang benar di atas pendirian kami bangsa Melayu kelak
tertinggal di bawah kekuasaan Siam itu juga. Bagaimanapun kedua-dua
rayuan itu telah ditolak oleh kerajaan British atas nasihat Pejabat Luar
British atas alasan bahawa perayu itu bukan rakyat British dan dari
segi itu British tidak mempunyai hak untuk menimbangnya. Tambahan pula
Kerajaan British tidak mahu berbalah dengan Siam keranba bimbang ia akan
menjejaskan bekalan beras Siam kepada tanah jajahannya.
Tuan
Guru Haji Sulung pula mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Thamrong pada
1947 supaya memberikan hak autonomi kepada Patani. Rayuan itu bukan
sahaja telah ditolak, tetapi Tuan Guru Haji Sulung turut ditahan atas
tuduhan menderhaka kepada Kerajaan Siam. Pengikut-pengikut Tuan Guru
Haji Sulung juga telah ditangkap dan sebahagian daripada pengikutnya
yang telah ditahan dan dibunuh dengan kejam atas alasan menggangu-gugat
keamanan negara.
Kezaliman
dan keganasan semakin menjadi-jadi terutama sekali semasa Siam berada
di bawah pemerintahan tentera.Tidak tahan dengan keadaan itu, orang
Melayu Patani telah menubuhkan gerakan pembebasan bagi membebaskan
Patani dengan cara perang gerila. Pada 1960 Barisan Revolusi Nasional
telah ditubuhkan oleh Haji Karim bin Hassan, disusuli kemudiannya oleh
penubuhan Barisan Nasional Pembebasan Patani dan Patani United
Liberation Organisation. Sejak
1960an hingga kini Patani berada dalam keadaan yang tidak stabil.Keadaan
ini mungkin tidak akan terjadi kiranya pada 1909 Kerajaan Siam
melepaskan semua Negeri-Negeri Melayu Utara, termasuk Patani, kepada
British. Kerajaan Siam sedar dan tahu bahawa orang Melayu Patani tidak
rela berada di bawah pemerintahan Siam yang bukan sahaja berlainan
bangsa dan agama, tetapi juga bahasa dan kebudayaan. Kerana keangkuhan,
Kerajaan Siam enggan melepaskan Patani walaupun tindakan itu membawa
padah kepadanya. Untuk
mengelak keganasan di Patani dari menjadi malapetaka besar bagi rantau
ini, kerajaan Siam tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyerahkan
masalah Patani kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikannya dengan mengadakan pungutan suara atas prinsip hak menentu nasib.
0 comments:
Posting Komentar